Popular Posts

Sunday 17 July 2011

VIDEO CERAMAH

TEKNIK MENDEKLAMASIKAN PUISI



                 
PUISI

Puisi ialah karangan berangkap yang ditulis dengan susunan kata-kata yang mementingkan irama, bunyi, rima dan kiasan. Puisi menyatakan perasaan dan fikiran yang bernilai secara tersirat.

1. Definisi Puisi

Antara definisi paling popular dari Barat ialah definisi oleh S.T. Coleridge. Puisi didefinisikan oleh Coleridge sebagai "Kata-kata terbaik dalam susunan terbaik": The best words in the best order.

Ada dua definisi utama yang telah dibuat orang di Malaysia, seperti yang berikut:
(a) Definisi Za'ba. (Za'ba menggunakan istilah "karangan berangkap" untuk puisi.):
Karangan yang digunakan untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

(b) Definisi Muhammad Hj. Salleh. (Definisi ini diasaskan kepada aspek bentuk, bahasa dan tema.):
Karya yang dicirikan oleh perkara-perkara yang berikut:
- bentuk yang kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa;
- bahasa yang lebih padat, teliti, dan kadang-kadang mendekati lagu;
- temanya diolah dari hidup harian tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau   pendengar dengan sudut pandangan yang agak luar biasa, dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya; dan
- mempunyai teknik-teknik yang tertentu.

2. Sajak dikatakan "puisi moden". Apanya yang moden?
Sajak berbeza daripada puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, mantera, dsb. berdasarkan dua ciri, iaitu (a) bentuknya yang bebas dan (b) suasana moden yang dibayangkan melalui kata-kata yang digunakan.

Sajak Terawal
Dua buah sajak yang dipercayai paling awal ditulis di Malaysia adalah seperti yang berikut:-
(a) "
Angan-angan Dengan Gurindam" oleh Omar Mustaffa; tersiar dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913; dan
(b) "
Di Tengah Senggara" oleh Punggok (nama sebenar Mohamad Yasin Maamor); tersiar dalam Majalah Guru, Th.x, Disember 1933.





3. Jenis Sajak

Sajak dibahagikan kepada jenis tertentu berasaskan beberapa aspek, seperti yang berikut:
(a) Dari aspek aliran, sajak dikatakan romantisme, realisme, absurdisme, dan lain-lain;

(b) Dari aspek bentuk (luaran), sajak dikatakan kuatren, terzina, soneta, dll;  
(c) dari aspek kebolehfahaman, sajak dikatakan polos (diaphan), taksa (ambiguous), prismatik, atau kabur; dan

(d) dari aspek ciri kandungan, sajak dikatakan abstrak atau konkrit.

Perhatian: Ada banyak aspek lain lagi yang digunakan orang apabila memperkatakan jenis sajak.

4. Prismatis

Sajak yang bersifat prismatik mempunyai makna yang berlapis. Makna pada permukaan (lapis pertama) adalah jelas. Namun sajak itu dapat dikonkretisasi (diberi makna oleh pembaca) pada lapis keduanya. Makna lapis kedua adalah lebih mendalam. Contoh:
Apabila kusunting mawar
kusunting wanginya bersama durinya (dari sajak "Kusunting Mawar" oleh Irwan Abu Bakar).

5. Nada

Nada ialah tinggi rendah tekanan suara. Nada berhubung dengan perasaan penyair ketika menulis. Nada yang utama dalam penulisan sajak ialah (a) nada melankolik, (b) nada patriotik, (c) nada protes, (d) nada romantik, dan (e) nada sinis.

Nada Melankolik
Nada mendayu-dayu atau berhiba-hiba yang menggambarkan kesedihan. Kegunaan: untuk mengemukakan tema penderitaan atau kehampaan.
Lara yang terus berarak
memenuhi rongga hati
Yang tinggal
hanya pedih, parah, dan pilu
(Dua contoh ini ialah ungkapan dari puisi Hasimah harun, "Yang Aku Mahu" dan "Kukunci Duka.)





Nada Patriotik
Nada yang menggambarkan keadaan hati penyair yang besemangat. Kegunaan untuk mengemukakan tema perjuangan penuh keberanian atau cita-cita yang tinggi:
seinci tanah Inderapura dijajah
selaut darah penjajah kan tumpah
(Contoh dari sajak "Setitik Darah Semantan" oleh Ami Masra.)
...mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah
(Contoh dari sajak "Negeri Ini, Anak", oleh Marsli N.O.)

Nada Protes
Nada yang menggambarkan perasaan yang memberontak atau menentang. Kegunaan: Untuk mengemukakan tema ketidakadilan atau kekejaman yang menyebabkan rasa marah atau benci. Contoh:
terbanglah
terbanglah kembali ke udara
dan segera jadi abu
hanya berdoa untuk dirinya,
dan keluarganya saja
dan tiada sekelumit pun
doanya untuk menobatkan
ilmu kepada anak bangsanya
(Petikan dari puisi  Latif Mohidin, "Terbanglah", dan puisi Arisel BA, "Universiti 2".)

Nada Romantik
Nada yang menggambarkan ketenangan dan kedamaian.
Kegunaan: Untuk mengemukakan tema kasih sayang, harapan, dan impian bahagia.
Terima kasih, sayang
kerana merenungku dengan sabar cinta
waktu aku menghirup perlahan
segelas teh Ahad
(dari puisi Irwan Abu Bakar, "Cinta Pagi Minggu".)

Nada Sinis
Nada yang menggambarkan rasa kurang senang. Kegunaan: Untuk mengemukakan perkara yang tidak disukai atau dipersetujui secara sindiran.
kalau mahu buat kerja sampingan
(seperti merompak dan meragut)
buatlah di luar waktu kerja
buatlah di luar waktu kerja
supaya terjaga profesionalisme
mencari ilmu itu tidak lagi berpergian jauh
sekadar melayari internet
dari komputerku di bilik tidur.
(dari sajak "Profesionalisme" oleh Irwan Abu Bakar dan sajak "Universiti 2" oleh Arisel BA).
6. Bentuk (atau Struktur) Sajak

Sama seperti puisi tradisional, sajak mempunyai (a) bentuk luaran dan (b) bentuk dalaman.

 a. Bentuk Luaran
Bentuk luaran bagi puisi ialah cara fizikal perkataan (atau suku kata) dan baris diatur untuk membina jasad puisi itu. Bentuk luaran merupakan sesuatu yang dapat dilihat.
Bentuk luaran lazimnya merujuk kepada (a) bilangan kata (atau suku kata) dalam baris, (b) jumlah baris dalam bait (atau rangkap), dan (c) susunan bunyi di hujung baris-barisnya.

Satu ciri bentuk luaran puisi diasaskan kepada rentak. Rentak diperoleh melalui susunan kata-kata. Rentak berkaitan dengan cara pembacaan. Dalam puisi tradisional, rentak biasanya teratur dan berulang-ulang dalam setiap baris. Misalnya, pada pantun dan syair, tempat hentian pembacaan telah ditentukan. Rentak puisi moden pula berbeza antara sebuah sajak dengan sebuah sajak yang lain. Rentak puisi moden "lebih berdasarkan tekanan makna dan perkataan di setiap baris serta susunan perkataan di setiap baris dan bukan kepada struktur rangkapan". Rentaklah yang membezakan puisi dengan prosa. Kebanyakan puisi moden mempunyai rentak yang jelas walaupun tidak mengikut pola-pola tertentu yang ketat dari baris ke baris, atau bait ke bait. Elok diperhatikan perbezaan rentak antara pantun empat kerat "Pulau Pandan" dengan bait ketiga (bait 4 baris) sajak "Penjual Bunga" oleh Muhammad Haji Salleh:

Pulau Pandan
Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

Penjual Bunga
menziarah tempat itu kembali
aku kehilangan,
kaki lima serasa kosong
di mana dia meninggal
Sajak lazimnya berbentuk bebas. Tidak ada pola-pola tertentu pada bentuk luarannya.
Sejumlah baris puisi yang membentuk satu kesatuan idea dan emosi dinamai bait. Dinamai juga rangkap. Bait tidak terikat kepada bunyi, hanya kepada kesatuan idea dan emosi. Bait merupakan ciri jelas yang membezakan puisi dengan prosa.
Ada juga puisi moden yang bentuk luarnya direka bentuk untuk menggambarkan isinya. Hal ini dicapai melalui penyusunan aksara dan baris kepada rupa bentuk tertentu. Contoh:
Sajak "Penjual Bunga" oleh T. Alias Taib mempunyai dua rangkap, dengan aksara bagi setiap rangkap disusun untuk membentuk rupa sekuntum bunga. Maka sajak ini mempunyai bentuk visual seperti dua kuntum bunga yang sedang mekar.

b. Bentuk Dalaman
Bentuk dalaman puisi merujuk kepada bentuk daripada segi pengutaraan isi. Perkara ini dimanifestasikan oleh cara tema diolah: dimulai dengan 'pengenalan', diikuti 'perkembangan', dan diakhiri dengan 'kesimpulan'.

Kesimpulan dapat dibentuk oleh (a) keputusan atau (b) soalan.
(a) Contoh kesimpulan yang dibentuk oleh keputusan:
dan kalau aku dipinta pandangan
aku akan mengesyorkan
“eloklah saudara diam!”
Unggul ini
ialah kesegalaanku
Tak ada tawar-menawar
pada sifat atau dirinya
kerana ia adalah
kemurnianku
yang kuawasi supaya
selalu kudus
Sengsara ini
menjadi wahana muhasabah
meneropong diri
meneliti peribadi
(Tiga contoh di atas masing-masing adalah dari sajak “Diam” oleh Rahman Shaari, sajak “Unggulku” oleh Muhammad Haji Salleh, dan sajak "Kukunci Duka" oleh Hasimah Harun.)

(b) Dua contoh kesimpulan yang dibentuk oleh soalan:
apakah yang semestinya ditulis
oleh seorang penyair
sewaktu merayakan
ulang tahun kemerdekaan tanah airnya
selain menyatakan pendiriannya
dengan merdeka?
(Sutung Umar RS, “Penyair dan Hari Kemerdekaan)
Bagaimana nanti jika kamu terluka dan tak berupaya lagi melawan angin? akan ke manakah aku?
(Zaen Kasturi, “Burung Kepada Sayapnya”.)
Bahasa (Irama, Makna, dan Klise)
Kepadatan dan kepersisan pemilihan kata ialah kunci kepada puisi yang baik.
Tiga aspek penting yang perlu diperhatikan dari segi bahasa sajak ialah (a) irama, (b) makna, dan (c) klise.




Irama
Irama ialah sifat bunyi kata (malah suku kata) yang diucapkan. Antara sifat kata (atau suku kata) itu ialah lembut, kasar, tajam, bising, keras, panjang, pendek, dan sebagainya. Irama sering ditakrifkan sebagai "alunan yang timbul dari pengulangan panjang pendek bunyi, keras lembut tekanan, dan tinggi rendah nada". (Takrif dalam tanda "... " dipetik dari Rujukan Tambahan 1.)

Makna
Ada tiga perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam memperkatakan makna kata-kata yang digunakan dalam sajak. Perkara-perkara itu ialah ketaksaan (atau ambiguiti), makna tersembunyi, dan ketepatan makna.
Ketaksaan (Ambiguiti)

Ada tiga perkara penting yang dapat diperkatakan tentang ambiguiti:
(a)"Menyatakan sesuatu dengan tidak menyebutnya secara terus terang ialah suatu kemahiran yang disanjung tinggi dalam tradisi kesusasteraan Melayu" (Rujukan Utama 2, hlm 42).

(b) Pada amnya, ketaksaan atau ambiguiti dianggap bernilai tinggi dalam sastera dan digunakan oleh penyair-penyair ternama seantero dunia.

(c) Ketaksaan atau ambiguiti dihasilkan daripada sifat kata yang mempunyai makna yang berbilang dan berlapis.

Makna Tersembunyi
Semua kata berperanan menyampaikan sesuatu makna dasar. Di samping itu, ada kata-kata yang dapat menyampaikan makna yang tersembunyi.
Dalam penulisan puisi, perhatian khusus harus diberi kepada kata yang mempunyai konotasi emosi.

Ketepatan Makna
Perkara paling asas dalam penulisan sajak ialah pemilihan kata. Penulis hendaklah memilih kata yang terbaik daripada perbendaharaan kata yang besar. Hal ini perlu dilakukan dengan bersusah payah. Kata yang dipilih mestilah dapat melakarkan pengalaman penyair secara konkrit, terperinci, halus, dan kaya dengan makna emosi. Penggunaan kata yang kurang tepat akan menyebabkan gambaran dan makna jadi samar-samar dan kurang jelas.

Makna Denotatif
Makna yang langsung atau khusus seperti yang diberi dalam kamus. Jelasnya, makna yang tersurat.

Makna Konotatif
Makna yang lebih luas daripada makna yang tersurat (seperti yang diberi dalam kamus). Jelasnya, makna tambahan, atau tersirat, yang menimbulkan kesan emosi.
Klise
1. Gaya Bahasa

Gaya ialah "cara penyair menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu". Gaya digunakan untuk melahirkan keindahan. Ada beberapa gaya bahasa yang sering digunakan untuk mendapatkan keindahan, seperti yang berikut:
 Hiperbola
Gaya yang dilambangi kata-kata yang membawa pernyataan yang berlebih-lebihan. Tujuannya ialah untuk menegas atau menekan pandangan, perasaan, dan pemikiran.
Dendam kesumatku ingin memanah jantung Si Bota ini dengan jemparing sakti, biar mati Si Bota
(dari sajak "Bota mata Tiga" oleh Irwan Abu Bakar)
                                                                                                   
Hibrid
Penyusunan perkataan yang melibatkan dua perkataan digabungkan menjadi sepatah kata. Tujuan: Untuk menimbulkan kesan kepadatan pengucapan. Contoh:
"kotateguh" = kota+teguh (dari sajak "Susila" oleh Kemala)
"budaktua" = budak+tua (dari sajak "Budaktua" oleh A. Ghafar Ibrahim)
"ampusana" = ampu+sana (dari sajak Hashim Yaacob, "Ampusana Ampusini")

Inversi
Penterbalikan kedudukan kata-kata yang bersebelahan berbanding dengan kelaziman dalam bahasa biasa. Hal ini dilakukan lazimnya untuk menarik perhatian pembaca atau pendengar kepada aspek yang dirasakan oleh penyair sebagai lebih penting:
di sini ada kolam dengan nilai maju
di dalamnya bermandian perempuan
dengan kecil baju.
Bila kita lihat manusia terbiar larat
hingga mesti merempat ke biru laut dan ke kuning darat
Tamu kuyup semalam
yang datang di lebat hujan.
(petikan dari puisi "Coral Beach" oleh Rahman Shaari, puisi "Kita Ini Tetamu Senja" oleh A. Samad Said, dan puisi "Tamu Semalam" oleh Hashim Yaacob).).

Ironi
Kata biasa yang digunakan untuk membawa makna yang bertentangan dengan kenyataan, atau ketaksesuaian antara harapan dengan kenyataan.
Orang yang tidak membaca
sentiasa pandai
Kita orang terpandai yang dungu
Menjaja kebodohan kita di pentas dunia
(dari puisi Rahman Shaari, "Beza" dan puisi A. Wahab Ali, "Menuju Kepupusan").



Paradoks
Gaya bahasa yang memperlihatkan pertentangan isi dengan kenyataan, tetapi sebenarnya betul. Gaya ini hampir sama dengan ironi. Contoh:
Bunga kita, kita yang punya
Agama kita, kita menganutinya....
Kita hulurkan tangan
Sama-sama menjahit robeknya.
Biar berlalu menjadi sesalan
Detik hitam dipadamkan
Jangan biar ia menjalar
Nanti kita bersama
Mengusung keranda ke kuburan.
(cuplikan sajak "Dari Mulut Ayah" oleh Borhan Md. Zain.)
(Sajak) parodi ialah sajak yang mengandungi unsur imitasi atau mimik (yang lucu atau diperbesarkan; mengejek atau mempersenda) terhadap seorang pengarang, karya, stail, dsb. Sajak Irwan Abu Bakar "Lima Orang Melayu Yang Dilupai" (Dewan Sastera, Mei
2001) ialah sebuah parodi.

Pengulangan
Penulisan kata (atau bahagian kata), ungkapan, baris (atau bahagian baris), atau rangkap secara lebih daripada sekali. Tujuan: Untuk (a) menegaskan maksud atau (b) menimbulkan pengucapan yang berirama dan indah.

Pengulangan Bunyi
Aliterasi dan Asonansi
 
(a) Aliterasi ialah pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam sesuatu baris, biasanya pada awal perkataan yang berurutan:
bara berang mengunyah alamnya
dengan debar dosa
kan kusedarkan keruntuhan mereka
karena kami kebanjiran
segar sebelum sebak
Contoh-contoh tersebut masing-masing adalah dari sajak A. Samad Said (Anak-Anak Palestina), Rahman Shaari (Senja), A. Samad Said (Cinta Hang Kasturi), R. S. Rendra (Sajak Orang Kepuasan), dan Rahman Shaari (Masalah).

(b) Asonansi ialah pengulangan bunyi vokal yang sama pada perkataan berturutan dalam sesuatu baris:
hari lahirnya jumaat lalu
segala-galanya telah menungguku
kita masih pemain sandiwara pintar
diolek leloghat dunia
kudengar manusia hiruk pikuk

Contoh-contoh ini masing-masing dari sajak A. Samad Said ("Janda Setinggan"), T. Alias Taib ("Fragmen Kampung" dan "Malam Bercabang"), dan Irwan Abu Bakar ( "Untuk Kau Yang Indah" dan "Mangsa").
Pengulangan bunyi dapat juga berlaku kepada suku kata (atau bahagian suku kata):

kecil dan terpencil
dingin dan sakit menggigit perit

Contoh pertama ialah baris dari sajak T. Alias Taib, "Sebatang Kara", sementara contoh kedua ialah dari sajak Irwan Abu Bakar ("Mangsa").

Pengulangan Kata
Anafora dan Epifora
(a) Anafora ialah pengulangan kata pada awal baris puisi:
dengan nafas tasik lembah
dengan bisikan berbahang
dengan debar dosa
segar aku menatapmu
segar sejenak
segar sebelum sebak
pada hutan menimbun daun
pada daun tumbuh cakerawala
pada cakerawala ada hutan
pada hutan ada daun

Tiga contoh di atas masing-masing diambil dari sajak Rahman Shaari "Senja" dan "Masalah", dan dari sajak Muhammad Haji Salleh "Wayang I".
(b) Epifora ialah pengulangan kata pada akhir baris puisi:
dia telah masuk ke dalam faham kita
ke dalam kemajuan kita
dia telah masuk ke dalam kesopanan kita
 

gerombolan lelaki pergi
putera kecilmu turut pergi
 
Contoh ini adalah dari sajak Rahman Shaari "Dalam Kesopanan Kita" dan sajak Siti Zainon Ismail "Ribut Pasir Taufan Takdir".
(c) Ungkapan dari sajak T. Alias Taib "Pandangan Dari Sebuah Cafe" yang berikut mengandungi kedua-dua anafora dan epifora:
dengan sut jelaga
dengan tali leher jelaga
dengan Bally jelaga



Pengulangan kata dapat juga berlaku pada tengah baris:
tika murai berhenti berkicau
kerbau di kandang berhenti menguak
Contoh ini dipetik dari puisi Irwan Abu Bakar, "Komentar".
Pengulangan kata akhir sesuatu baris sebagai kata pertama baris berikutnya dapat menimbulkan kesan tertentu:
terus bertikam dua pahlawan
pahlawan Melayu pembela Melaka
tempat banyak turunnya harga
harga diri wanita sendiri
akal diletak pada kehendak
kehendak terletak di puncak nafsu
Contoh-contoh ini adalah dari puisi Irwan Abu Bakar, "Sesal Orang Melaka" dan "Sale Di Bahagian Pakaian Wanita", dan puisi Ami Masra, "Wasiat Kepada Bangsa".

Rima
Pengulangan bunyi (lazimnya suku kata) yang sama di dalam atau di akhir baris yang berhampiran, biasanya baris yang berurutan atau berselang sebaris. Susunan rima lazimnya ditulis abab (berselang sebaris), aaaa (berurutan empat baris), aabb (berurutan dua baris demi dua baris), dan sebagainya.
di taman ini seorang pemetik sunyi
senja dari segala senja menyanyi

Contoh ini ialah contoh rima aa di akhir baris. Dipetik dari puisi Suhaimi Haji Muhammad, "Kesendirian". Berikut ialah contoh rima aabb di akhir baris yang dipetik dari puisi "Menggamit Bintang" karya Hashim Yaacob:

Lalu menyinar mentari
pada siang hari
Bulan ikut mengambang
bila malam jelang.

Irama
Alunan yang timbul hasil pengulangan bunyi (panjang pendek), tekanan (keras lembut), dan nada (tinggi rendah).
Pengulangan baris
(a) Pengulangan baris (atau bahagian baris, biasanya seluruh subjek atau predikat
ayat) dapat berlaku sama ada secara berturutan (pada ayat yang berikutnya) atau secara tertangguh (misalnya, pada kedudukan relatif yang sama bagi rangkap berikutnya).
(b) Secara berturutan, biasanya untuk penegasan idea atau mesej. Contoh (dari puisi Irwan Abu Bakar "Sesal Orang Melaka", puisi Kemala "Karang", dan puisi Marsli N.O., "Negeri Ini, Anak"):




Tuah menghunus keris setia
Jebat menghunus keris setia

yang ada hanya mata dan dada
yang ada hanya bibir dan lidah

...mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah.
(c) secara tertangguh, biasanya untuk keindahan. Contoh pengulangan seluruh ayat (dari "Fragmen Kampung - Telaga" karya T. Alias Taib dan "Telah" karya Lim Swee Tin):

Telaga
hanya inilah satu-satunya
meja perundingan kami
tempat ibu kami mengelilinginya
dan berkongsi rahsia
setiap kali pagi terjaga
hanya inilah satu-satunya
meja di kampung kami
tempat kekasih menimba cinta
di dasarnya yang dalam
sementara menunggu malam terlelap
hanya inilah satu-satunya
meja kesayangan kami
tempat kami bergaduh dan membesar
Contoh puisi "Telah":
telah kenal aku
pada pohon-pohon
tempat datang
daun-daun
telah kenal aku
pada lurah dan gunung
tempat mulanya sungai
telah kenal aku
pada cemara dan padang
di mana angin melayang
telah kenal aku
pada siang dan malam
pengumpul rahsia alam
Contoh pengulangan tertangguh separa ayat (dari "Ghaib" karya T. Alias Taib):
aku telah melihat tetesan air
kering di lidah matahari
aku telah melihat jaluran asap
tersembunyi di perut udara
aku telah melihat segenggam garam
cair dipulas air
aku telah melihat kepulan fikirmu
terapung di meja
kehilangan kata-kata
Pengulangan rangkap lazimnya untuk penegasan idea atau mesej.
Contoh (dari puisi Irwan Abu Bakar, "Tamu dari Dalam"):
lantas aku protes:
Hai kebosanan
kemarahan
kesepian
kesibukan!
Jangan kauketuk-ketuk pintu rumahku
kerana di sini tiada tempat bagimu.
Tuk, tuk tuk, tuk, tuk!
Hai kebosanan
kemarahan
kesepian
kesibukan!
Jangan kauketuk-ketuk pintu rumahku
kerana di sini tiada tempat bagimu.

Perbandingan
Ada beberapa jenis perbandingan (atau kiasan) yang lazimnya digunakan dalam puisi.

Diksi
Diksi ialah pemilihan dan penyusunan kata dalam puisi. (Ada penulis yang menggunakan istilah "diksi" untuk merujuk kepada pemilihan kata semata-mata sementara cara kata disusun menjadi baris dinamai "sintaks".) Perkara yang diutamakan dalam pemilihan dan penyusunan itu ialah ketepatan, tekanan, dan keistimewaan. Perhatian istimewa diberi terhadap sifat-sifat kata seperti denotatif, konotatif, bahasa kiasan, dsb.

2. Deklamasi Puisi

Deklamasi ialah penyampaian puisi secara pengucapan (lisan).
Bukan semua puisi sesuai dideklamasikan. Puisi yang sesuai dideklamasi dikatakan bersifat 'deklamatori'.
Pada hari ini, kadangkala muzik digunakan untuk mengiringi deklamasi, sama ada secara permainan muzik "minus one" atau secara permainan "live" alat-alat muzik tradisional dan/atau moden. Kadangkala persembahan juga diiringi tayangan multimedia.
Lagu puisi ialah lagu yang menggunakan puisi tertentu sebagai liriknya. (Definisi alternatif: Puisi yang dinyanyikan dengan melodi yang dicipta khas untuknya).
Deklamasi puisi memerlukan kebolehan dan latihan serius. Menghafaz puisi yang akan dideklamasi ialah amalan yang baik.
Pada hari ini, deklamasi puisi kadang-kadang dibuat secara persembahan teater (termasuk silat dan wayang kulit yang dipelopori oleh Hashim Yaacob).
Rahman Shaari. "Deklamasi yang Baik dan Berkesan", Dewan Sastera, Mac 1996.
Sepuluh pemikiran utama Rahman tentang hal ini adalah seperti yang berikut:

(a) Deklamasi janganlah dipenuhi tempikan yang tidak beralasan. Mendeklamasi sajak bukan perlawanan untuk mencari juara tempikan.
(b) Gerakan yang berlebih-lebih di atas pentas bukanlah cara deklamasi yang elok.
(c) Penggunaan suara tinggi hendaklah sesuai dengan tema. Pendeklamasi hendaklah pandai menerbitkan suara dalam perut, dan membina suara serak yang bertolak dari dalam perut. Suara dalam perut amat berharga, dan suara dalam dada hanya berupaya menerbitkan kesan permukaan.
(d) Perlakuan aneh yang ditonjolkan semasa mendeklamasi bukanlah sesuatu yang dikehendaki.
(e) Pendeklamasi mesti berlatih dengan bersungguh-sungguh walaupun deklamasi bukan untuk sayembara. Kebanyakan orang memerlukan latihan sekurang-kurangnya seminggu.
(f) Pendeklamasi perlu mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap bidang ini.
(g) Deklamasi perlu berpusat kepada teknik, gaya, nada, dan suara.
(h) Pendeklamasi perlu mempunyai sikap menghormati penonton demi mengakrabkan pendeklamasi dengan penonton.
(i) Pendeklamasi perlu mempunyai keyakinan diri demi menghasilkan persembahan yang bergaya. Pendeklamasi yang berbuat perkara yang pelik-pelik semata-mata untuk menimbulkan gimik murahan di atas pentas, bukanlah orang yang yakin terhadap keupayaannya.
(j) Persembahan mesti menepati makna sajak yang dideklamasi demi mengemukakan persembahan deklamasi yang baik dan berkesan.

L3(6) "Pengemis" oleh T. Alias Taib
dari tubuhnya
merangkak kehidupan
bagai seekor siput
mencari sehelai daun.
dari peluhnya
terpercik harapan
bagai sekelopak bunga
menanti fajar pagi.
dari keluhnya
terkumpul debaran
bagai gemuruh jeram
menangisi kabut hutan.
dalam matanya
berkocak keharuan
bagai perahu tua
kematian angin.
dalam suaranya
mengalir kesedihan
bagai anak sungai
kehilangan muara.
dalam dadanya
menetes kesalan
bagai mendung hitam
ketibaan hujan.

9. Teknik

a) Teknik ialah gerakan kreatif deklamator.
Gerakan ini mungkin sedikit sahaja tetapi dalam memberi kesan.

b) Penilaian terhadap aspek teknik tertumpu kepada keberkesanan gerakan kreatif ini.

c) Sebagai contohnya, ada pendeklamator yang melangkah setapak ke hadapan, kemudian berundur setapak juga pada tempat yang sesuai. Terdapat pula pendeklamator yang bermula dengan duduk dan kemudian bangun. Gerakan-gerakan begini, jika sesuai (khususnya bersesuaian dengan puisi yang dideklamasikan), membantu menjadikan persembahan berkesan.

d) Peserta juga tidak dibenarkan mendeklamasikan sajak dengan bantuan teman. Ertinya, manusia tidak boleh dijadikan “alat bantu” dalam sayembara deklamasi ini.


10. Gaya

a) Gaya berkait rapat dengan keyakinan deklamator. Terdapat tiga alasan yang menjadikan deklamator kurang bergaya. Yang pertama, deklamator itu memang tidak cukup berani berhadapan dengan khalayak. Kedua, walaupun dia berani berhadapan dengan khalayak, namun dia tidak tahu tentang seni pentas dan ketiga, tingkat hafalannya tidak cukup. Ini membawa kepada deklamasi yang tidak menyakinkan.

b) Gaya termasuklah olahan/bahasa tubuh (body language), gerak tangan dan sebagainya yang bersesuaian dengan sajak yang dideklamasikan.

c) Mimik muka juga adalah gaya. mimik muka hendaklah sesuai dengan tema dan isi sajak yang dideklamasikan.

d) Selain itu, pergerakan mata deklamator juga diambil kira sebagai gaya mata orang pentas. Yang yakin/berani ditumpukan kepada penonton, manakala yang tidak yakin akan lari ke atas atau lantai pentas.

11. Nada

a) Nada yang dimaksudkan ialah nada yang ada dalam sajak. Terdapat beberapa nada yang popular seperti patriotik, marah, sinis, sedih, romantis dan sebagainya.

b) Setelah nada sajak dikenali dengan betul, pengucapannya pula perlu digandingkan dengan intonasi yang tepat iaitu turun naik dan tinggi rendah suara untuk dipadankan dengan maksud sajak. Jeda (tempat berhenti) juga perlu difahami betul-betul oleh pendeklamator untuk menjelaskan lagi maksud sajak.

12. Suara

a) Suara adalah pemberian Tuhan yang sukar diubah. Walaupun demikian Deklamator yang bersemangat tinggi akan berusaha menerbitkan suara yang sesuai dengan sajak dapat dipaparkan melalui permainan kualiti suara. Deklamator hendaklah sedar bahawa suara boleh direndahkan, disederhanakan dan ditinggikan pada tempat-tempat yang sesuai. Yang dimaksudkan dengan kualiti suara ialah penerbitan suara yang berbeza-beza itu, yang dalam bidang muzik disebut bas, tenor dan soparno.

b) Penerbitan suara yang terasa dibuat-buat akan menyebabkan deklamasi kurang bermutu.

13. PENILAIAN ASPEK LAIN SECARA UMUM
 
a) Konsep Penghayatan

Kejayaan deklamator mengemukakan teknik, gaya, nada dan suara yang bersesuaian dengan sajak yang dideklamasikan adalah kejayaannya dalam penghayatan sajak itu.

b) Kelemahan dan Pemotongan Markah

Markah yang diberikan untuk aspek-aspek yang dinyatakan di atas akan muktamad jika tiada kelemahan dalam deklamasi.
Markah akan dipotong jika terdapat kelemahan-kelemahan seperti yang akan dinyatakan di bawah ini. Jumlah markah yang akan dipotong tertakluk pada seriusnya kelemahan itu.

i) Salah atau Lemah Sebutan

Jika kata “payung” disebut “payon”, “keramat” disebut “keramak”, “cinta” disebut “cinte” dan seumpamanya, markah akan dipotong.  

ii) Ketersasulan

Apabila perkataan tertentu tersalah sebut dan disebut sekali lagi dengan tujuan pembetulan, markah akan dipotong juga kerana ketersasulan itu merosakkan kelancaran deklamasi. 





iii) Tersalah Perkataan

Tersalah perkataan berbeza daripada tersasul, kerana dalam hal tersalah perkataan, tiada pembetulan dibuat. Deklamator mungkin tidak menyedari kesalahan itu dan mungkin juga membiarkannya demi menjaga kelancaran. Pemotongan untuk kesalahan begini tertakluk pada kesannya. Jika perkataan “telah” disebut “tidak” makna keseluruhan sajak berubah. Ini menyebabkan pemotongan markah. Jika perkataan “tidak” disebut “tiada”, makna keseluruhan sajak tidak berubah.

iv) Tertinggal Bahagian Tertentu

Deklamator yang kurang menghafal atau yang gentar di hadapan khalayak mungkin tertinggal baris tertentu, malah mungkin juga tertinggal rangkap tertentu. Ada yang tertinggal terus dan ada teringat kemudian lalu disebutkan semula. Hal ini menyebabkan bentuk, struktur dan mungkin maksud itu berubah. Oleh sebab kesannya besar, maka markah juga akan dipotong., tertakluk kepada jumlah baris tertinggal atau serius tidaknya kesan.

v) Perlakuan Negatif Di Pentas

Perbuatan mengetuk mikrofon, membunyikan “emh” dan sebagainya kerana ada gangguan di kerongkong dan perbuatan-perbuatan lain yang menunjukkan sikap tidak profesional di pentas akan menyebabkan markah dipotong. 

c) Pakaian deklamator adalah bebas tetapi hendaklah bersopan dan sesuai.

Semua perkara yang tidak dinyatakan dalam syarat-syarat ini adalah menjadi hak penganjur dan Urusetia Sayembara menentukannya dari semasa ke semasa.

Kesimpulannya seseorang deklamator itu mesti mempunyai pengetahuan asas tentang sajak bagi memudahkannya memahami maksud dan makna sesebuah puisi kerana dapat membantu menghayati isi kandungnya. Pemahaman yang baik dapat membantu dan melahirkan pendeklamator yang baik.

Sumber rujukan

http://ms.wikipedia.org/wiki/Puisi

http://members.tripod.com/alam_sastera/puisi_tradisional.htm